oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Pengalaman yang paling menarik ketika bertugas di Majalah Anis sebagai wartawan ialah menerima dua pucuk surat daripada seseorang. Dua pucuk surat itu dialamatkan ke Majalah Anis, Kota Damansara, satu perkara yang tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini (kerana semua surat dialamatkan ke rumah sewa atau rumah ibubapa di Kedah).
Yang mengejutkan bukanlah surat tersebut tetapi isinya dan juga si pengirimnya. Dia ialah seorang remaja wanita berusia awal 20-an dan menamakan dirinya Ida. Dalam surat tersebut, Ida mengucapkan terima kasihnya kepada saya kerana telah menulis satu artikel yang telah membantunya membuat keputusan penting. Dia amat bersyukur kerana membaca artikel berkaitan Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah dalam majalah Anis Jan 2009.
Kisah hidup Ida amat meruntunkan nurani saya sebagai penulis dan hamba Allah di muka bumi ini. Dia adalah seorang gadis mangsa rogol si pemandu teksi dan mengalami trauma akibat tidak mendapat sokongan keluarganya. Oleh itu, Ida berusaha mencari penyelesaian yang kemudian dilorongkan membaca artikel tersebut seterusnya menghubungi pihak Raudhatus Sakinah (melalui Ummi Roses).
Saya berasa insaf dengan tanggungjawab sebagai seorang penulis. Barangkali, ketika menulis saya ‘main tibai’ atau ‘sambil lewa’ sahaja. Namun di sebalik itu, orang lain rupanya mengambil ibrah atau mendapat manfaat daripada tulisan tersebut. Jika saya ikhlas, insya Allah akan mendapat pahala dariNya, sebaliknya, jika masih ada perasaan ‘tidak bersungguh’ dalam diri ini, apakah Dia menilai amalan-amalan manusia penulis?
Setelah dua kali berutus surat dan mesej dengan Ida, dia memaklumkan pada saya bahawa selepas ini dia tidak dapat menghubungi saya lagi. Permohonannya untuk masuk ke Raudhatus Sakinah telah diterima. Dia akan menjalani rawatan dan pemulihan rohani di situ. Saya mengiringi pemergian Ida dengan doa sahaja tanpa pertemuan yang dirancangkan.
6 Oktober 2009, saya mengikut teman, Ustazah Atriza Umar memberi pengisian di Raudhatus Sakinah, Sungai Buloh. Hati saya dijentik pertanyaan, wujudkah Ida di Raudhatus Sakinah? Mata mengerdip senang melihat 30 remaja puteri yang jernih-jernih wajahnya. Ayu dan berbungkus pakaian sopan. Kebanyakan mereka adalah ‘ibu tanpa suami’ dan beberapa masalah sosial lain. Saya memandang kagum pada mereka kerana menjadi ‘manusia’ terpilih untuk dekat dengan Allah dan Rasulullah SAW setiap masa. Adik-adik ini tanpa segan, menyalami dan memeluk saya dan teman.
Ketika memberi ucapan, sepasang mata itu kemesraannya luar biasa memandang saya. Gadis itu kadang tunduk kala saya merenungnya dari depan. Saya tahu dia adalah Ida daripada risikan warden di situ. Gadis-gadis yang lain juga mendengar perkongsian pengalaman dan ilmu penulisan dengan ghairah. Rata-rata mahu menulis pengalaman hidup masing-masing.
“Kak Ummu…” “Idakan?” Kami berpelukan pada pertemuan pertama. Ida sangat terharu, seperti mahu menitiskan air mata. Saya senyum, mengawal diri kerana kami dikerumuni teman-teman Ida yang lain. “Tak sangka Kak Ummu akan datang juga Raudhatus Sakinah. Banyak kali saya berdoa semoga Kak Ummu datang ke sini,” katanya. Ya Allah, aku malu padaMU dengan kata-kata Ida itu. Aku berasa kecil.
Kami berbual ringkas kerana masa tidak mengizinkan. Ida nampak berat melepaskan saya dan mengharapkan aka nada pertemua seterusnya. Adik-adik yang lain juga begitu. Malahan, ada seorang gadis menyatakan pernah bertemu saya di Rumah Sinar Salam, Chow Kit. “Kak Ummu pernah datang sana wawancara saya dan pihak Sinar Salam untuk Majalah Anis dulu,” katanya mengingatkan saya. Masya Allah, tulisan bukan alat yang sebarangan. “Dulu saya ambil rawatan di sana, sekarang keluarga hantar ke sini pula,” kata gadis yang pernah mengalami ketagihan dadah.
“Kamu rasa tenang di Raudhatus Sakinah?” tanya saya pada Ida dan temannya itu. Mereka mengangguk. “Di sini lebih baik. Dulu di Sinar Salam waktu saya ketagihan, pihak sana bagi saya rokok untuk kurangkan. Tapi di sini, mereka tak bagi langsung. Mula-mula rasa susah nak tahan ketagih, Alhamdulillah, sekarang makin baik,” balas gadis yang bernama Akmar pula.
“Kutiplah kebaikan banyak-banyak di Raudhatus Sakinah. Bila kamu keluar nanti, kawan-kawan, warden dan disiplin dah tak ada nak menolong kita. Masa itu, agamalah ubatnya. Dalami dan hayatilah segala kebaikan yang kamu terima di sini,” kata saya menapak keluar.
“Kak Ummu datang lagi ya.” Ida begitu mengharapkan dan nampak masih tidak percaya bertemu saya hari itu. Ya Allah, kurniakanlah aku kelapangan hati agar ruang itu dapat kuberikan kepada para hambaMu yang memerlukan sokongan ilmu dan kasih sayang. Walaupun aku tidak sempurna dan banyak cacat celanya.
Oh, tulisan sangat tajam menghiris penulis jika tidak berhati-hati.
courtesy: ummuhani.com
Tags:
Share
You need to be a member of Ayat Ayat Cinta Fans Club to add comments!
Join this Ning Network